LAUNCHING SOON - TUDUNG SARUNG AJUMA
Ramah Mesra Bersama Orang Asal Ulu Kinta, Perak

Alhamdulillah, pada 23 April 2022 (Sabtu), tim Telekung Rawdah dengan kerjasama NGO Ikhtiar Ihsan Care di bawah kelolaan Ustazah Asmak Husin berpeluang untuk menyantuni, ramah mesra & berbuka puasa bersama penduduk orang Asal di Ulu Kinta, Perak. Perjalanan kami bermula dari 12.30 tengahari. Alhamdulillah, walau cuaca terik & hujung minggu, trafik masih dalam keadaan terkawal.

Gambar wajib sebelum bertolak ke KAFA Orang Asal Ulu Kinta, Perak

Pada jam 2 lebih, kami tiba di sebuah masjid berdekatan untuk menunaikan solat Jamak dan Qasar. Asalnya, kami menunggu wakil Persatuan Ulamak Malaysia (PUM) Perak untuk bergerak ke lokasi. Namun atas faktor 'line' yang terbatas di kawasan orang Asal, kami tak dapat berhubung dengan pihak PUM Perak.

Kami cuba bergerak sendiri, menggunakan khidmat 'Google Maps'. Perjalanan semakin jauh ke dalam hutan, 'connection' telefon tiada, memang hati sudah tawakal. Berdoa agar tidak tersesat dan sampai dengan selamatnya. Alhamdulillah, kami berjaya juga sampai ke lokasi berkenaan.

Anak-anak penduduk Orang Asal Ulu Kinta di surau mereka

Masha Allah, sangat indah dan nyaman perkampungan ini. Dengan berlatarbelakangkan gunung-ganang, pohonan yang menghijau, udara terasa sangat segar dan mendamaikan. Kami bergegas naik ke surau yang terletak di bahagian atas bilik darjah. Lebih membahagiakan, rupanya di sinilah Kafa Orang Asli yang pertama di Malaysia, Masha Allah.

Proses 'packing' telekung untuk diberikan pada para ibu & guru 

Pelbagai aktiviti amal islami telah dijalankan di sini seperti pertandingan tilawah hafazan, nasyid & azan. Sempat kami mendengar perkongsian dari Ustazah Asmak Husin buat anak-anak orang Asal ini. Mesej dari penyampaian ustazah adalah untuk menyantuni ibu bapa & terus berusaha menjadi orang Mukmin yang berguna, berimpian besar dan berusaha bersungguh-sungguh menuju kejayaan.

Perkongsian Ustazah Asmak Husin bersama anak-anak orang Asal Ulu Kinta

Aktiviti disambung lagi dengan penyampaian hadiah bagi anak-anak yang menyertai pertandingan, cabutan bertuah dan duit raya oleh wakil PUM Perak. Pihak Telekung Rawdah juga berkesempatan untuk menghadiahkan telekung buat ibu dan guru di sini. Terhibur melihat keletah sang ibu, teruja mendapat hadiah berupa jag air, bekas makanan, landai, barang-barang kelengkapan dapur. Betapa mereka amat mensyukuri, menikmati dan menghargai setiap pemberian.

Penyampaian hadiah untuk pertandingan amal islami

Gambar beramai-ramai usai penyampaian hadiah dan cenderahati

Usai penyampaian hadiah dan cenderahati, aktiviti disambung lagi dengan penyampaian barang keperluan asas buat setiap ketua keluarga. Cuaca mula bertukar redup, kelihatan pelangi indah di dada langit. 

Penyampaian cenderahati berupa buku nota dan pen buat wakil PUM Perak

Penyampaian barang keperluan asas untuk penduduk setempat

Tak lama kemudian, hujan turun dengan lebat, menghijaukan bumi & menyegarkan seisi penduduknya. Walau tak dapat berjalan-jalan sekitar kampung, sempat kami meninjau rumah buluh yang didirikan dan melihat penyediaan makanan untuk berbuka puasa.

Bual santai sementara menunggu waktu berbuka bersama tok batin  

Menu yang agak 'rare' tapi menarik untuk berbuka puasa kali ini adalah ikan keli buluh dan ayam buluh. Makanan ini dimasak dalam buluh seperti lemang. Di sana sini, kelihatan penduduk kampung ceria bergotong-royong menyiapkan juadah.

Berbuka puasa bersama orang Asal Ulu Kinta, Perak

Azan berkumandang, kami bersama-sama bersila, bersimpuh menikmati hidangan yang lazat. Menu istimewa tadi benar-benar menyelerakan. Majlis diteruskan lagi dengan solat Maghrib, solat Isyak & tarawih 8 rakaat bersama 3 witir.

Aktiviti moreh selepas solat tarawih berjemaah

Tim Telekung Rawdah bersama guru, wakil PUM Perak, NGO Ikhtiar Ihsan Care

Sebagai penutup majlis, kami berpeluang menikmati bubur kacang hijau yang enak bersama-sama. Sungguh, ini satu pengalaman yang sangat bernilai dan berharga. Permusafiran kali ini membuka minda dan pengetahuan, menambahkan syukur, mengeratkan persaudaraan. Moga orang Asal di sini dapat terus menikmati, menghayati keimanan dan Islam dengan sebenar-benarnya.

"Seanggun Bidadari Menghadap Ilahi"
TELEKUNG RAWDAH ™