NEW ARRIVAL - Safia Series 20 Colours !
Merdeka & Sayonara Jahiliyah

Saban tahun, tanggal 31 Ogos menjadi tarikh keramat buat Malaysia, hari kemerdekaan tanah air yang dicintai. Sedar tidak sedar, sudah 64 tahun kita melalui kemerdekaan. Banyak kemajuan & pembangunan infrastruktur dapat dilihat hari ini. Gaya hidup semakin selesa, kemudahan akses internet & capaian teknologi yang sangat membanggakan. Ya, Malaysia ini sudah merdeka. Namun, adakah 'penghuni'nya turut sama merdeka? Satu pertanyaan yang amat menarik untuk dikupas dan dirungkaikan. 

Ramai menggandaikan, merdeka itu semata bebas dari penjajahan kuasa luar, Tapi, ia lebih meluas sebenarnya. Kata Buya Hamka dalam buku beliau, Falsafah Hidup, 


"Kemerdekaan ialah bahawa engkau rasai dengan perasaan yang jernih, hak yang perlu engkau ketahui, & waktu itu engkau rasai apa pula kewajipan kepada orang lain. Engkau bebas & bebas mengembangkan sayap, menurutkan kemahuan hati, untuk membuktikan engkau berhak. Engkau boleh mengeluarkan apa yang terasa di hatimu, asal engkau hormati pula kemerdekaan orang lain & engkau bayarkan kewajipan yang diminta oleh masyarakat kepada engkau."

Masha Allah, merdeka ini bukan sekadar bebas dari sudut mata fizikal. Tapi juga apa yang tersembunyi, jauh dalam hati dan diri kita. Dan salah satunya, merdeka dari kejahilian.

Jahil ini datang apabila kita tiada ilmu yang mencukupi tentang sesuatu perkara. Bagaimana penyelesaiannya? Pelajarilah ilmu dari ahlinya. Jika ingin belajar tentang vaksin, dapakan informasi dari pihak berautoriti seperti Kementerian Kesihatan Malaysia & ahli medik. Jika ingin belajar tentang fiqh ibadah, carilah guru Fiqh yang diyakini ilmunya. Jika ingin  belajar memasak, belajar dari chef atau mereka yang berpengalaman memasak. Begitulah seterusnya.

Ayuh berhenti 'belajar' dan percaya 100% dari media sosial yang lebih banyak auta dari faktanya. Berhenti dari 'taksub' dengan figura-figura terkenal hingga mengakui segala perlakuannya benar & betul, tiada kesilapan seolah-olah maksum.

Selain dari kejahilan, merdekakan diri dari perkara tidak bermanfaat & tidak berfaedah. Sebagai contoh, merdekakan diri dari kemalasan, akhlak yang buruk & keji, nafsu serakah yang buruk & hina, perpecahan, pergaduhan, sikap suka berbalah, ekstrem terhadap sesuatu juga pemikiran yang lemah.

Buatlah sesuatu amalan dengan ilmu. Usahalah perbaiki diri walau sejengkal sehari. Kerna yang sedikit tetapi konsisten (istiqamah) itu sangat dicintai oleh Allah & Rasul-Nya. Kita tidak mampu buat semua, tapi usah tinggal semua.

Bukankah Allah swt sudah berfirman,

لَا يُكَلِّفُ اللّٰهُ نَفْسًا اِلَّا وُسْعَهَا 

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya..."
(Surah Al-Baqarah : ayat 286)

Oleh itu, bersegeralah merdekakan diri. Bergeraklah ke arah kebaikan dan bersungguh-sungguh di dalamnya. Tiada usaha yang kecil di sisi Allah. Sebaliknya, setiap usaha itu dipandang-Nya dan dikira sebagai pahala & kebaikan.

Salam Kemerdekaan yang ke-64. 
Selamat menjadi insan yang merdeka dari jahiliyah.
Selamat menjadi hamba-Nya yang berusaha menjadi lebih baik, lebih bermanfaat dan lebih beramal dengan ilmu yang benar.