NEW ARRIVAL - Safia Series 20 Colours !
Duhai Anakku...

Menjadi anak yang baik itu adalah impian semua.

Kita pasti ingin mengecapinya baik semasa ibu ayah masih ada, mahupun mereka sudah meninggalkan dunia yang fana' ini.

Beruntungnya kita sebagai orang Islam, kerana mewarisi mukjizat yang agung ini, yakni Al Quran. Pelbagai intipati, kisah dan pedoman yang boleh kita pelajari melaluinya. Benarlah, Al-Quran ini 'manual' kehidupan yang terbaik buat manusia.

Kali ini, mari kita soroti nasihat seorang ayah kepada anaknya. Nasihat ini dicatatkan dalam Surah Luqman. Pesanan ini menjadi tip yang sangat berguna buat kita, untuk terus menjadi anak yang baik.

Anak yang baik ini definisinya bukan sahaja berbakti pada ibu ayah, tetapi juga menjadi hamba yang sebenarnya buat Sang Pencipta.

1) Mengesakan Allah s.w.t & tidak mensyirikkan-Nya

Ini bertepatan dengan rukun Islam yang pertama : persaksian syahadah bahawa Allah itu sebagai Rabb, Nabi Muhammad sebagai pesuruh-Nya. Dan sejajar juga dengan rukun Iman pertama yakni beriman kepada Allah.

Berhati-hati dalam hal akidah dan keimanan. Moga kita sentiasa dalam panduan dan kasih sayang-Nya.

2) Berbakti kepada ibu ayah

Banyak cara untuk berbuat baik kepada mereka yang menjadi asbab kita lahir di dunia ini. Jika mereka masih ada, selalulah bertanya khabar dan usaha lengkapkan keperluan hidup mereka. Penuhi tangki emosi dan luangkan masa berkualiti bersama mereka.

Jika mereka sudah tiada, banyakkan sedekah, infaq dan amal kebajikan buat mereka. Doakan mereka agar sentiasa tenang dan damai di alam sana. Sebarkanlah ilmu bermanfaat yang kita peroleh dari mereka. Dan usahalah menjadi anak yang soleh, yang selalu mendoakan mereka.

3) Tunaikan solat

Sesuai dengan rukun Islam yang kedua : mendirikan solat 5 waktu sehari semalam. Solat ini ibarat tiang bagi rumah kita. Jika pincang, goyah dan rapuhnya tiang ini, maka rumah itu akan ranap dan roboh dimakan masa.

4) Berakhlak mulia

Berbuat baik dengan sesiapa sahaja yang kita temui. Baik di jalanan, di kedai malah lebih lagi yang kita kerap bertemu dalam seharian. Ia tidak terhad pada manusia sahaja. Berakhlak mulia dan baik ini juga perlu dilazimi walau bersama haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang melata.

Percaya atau tidak, mereka semua akan menjadi saksi kita di hari akhir kelak. Jadi, wujudkan saksi yang menyelamatkan kita, bukan sebaliknya.

5) Lakukan kebaikan, tinggalkan kemungkaran

Atau dalam bahasa Arab, ia dipanggil amar makruf nahi munkar. Kita sedar, kita adalah hamba yang penuh kelemahan dan kesilapan, namun usahalah untuk perbaiki diri dari masa ke masa.

Remember this!

Allah saksikan & malaikat catatkan semua usaha kita. Berjaya atau tidak itu bukan urusan kita, tapi yang Maha Kuasa.

Oleh itu, ayuh!

Azam mulai detik ini, aku ingin jadi yang baik dan akan terus usaha menjadi yang lebih baik, hingga ke akhir nafas kelak.

Ameen Ya Mujeeb! heart